Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat terdahulu.” Para sahabat bertanya, “Apakah penyakit itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Penyakit itu ialah hidup bermewah-mewahan secara melampau, suka menunjuk-nunjuk, tamak mengumpulkan harta, berlumba-lumba dalam urusan dunia, saling membenci dan berdengki sehingga membawa kepada kezaliman dan akhirnya pertumpahan darah.”
Ali bin Abi Talib menceritakan bahawa ketika beliau duduk bersama Rasulullah SAW di dalam masjid, datang Mus‘ab bin ‘Umair dengan hanya memakai sehelai kain lusuh yang bertampal dengan kulit. Rasulullah SAW menangis apabila melihat keadaannya kerana mengenangkan kehidupannya di Mekah yang dahulu mewah dan sering berpakaian segak, namun kini demi Islam beliau meninggalkan semua itu dan hidup susah sebagai seorang Muhajirin di Madinah.
Rasulullah SAW bertanya, “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu masa nanti apabila kamu keluar pada waktu pagi dengan satu jenis pakaian dan pulang pada waktu petang dengan pakaian yang lain pula, apabila satu hidangan diangkat lalu disediakan hidangan yang lain, dan rumah kamu dihias seperti Kaabah yang dipasang kelambu?” Para sahabat menjawab, “Wahai Rasulullah, tentulah ketika itu kehidupan kami lebih baik kerana kami tidak lagi sibuk mencari rezeki dan boleh memberi tumpuan kepada ibadah.” Namun Rasulullah SAW bersabda, “Tidak. Kehidupan kamu sekarang inilah yang lebih baik daripada kehidupan kamu pada masa itu.”
Imran bin Husain meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik umatku ialah pada zamanku, kemudian generasi selepasnya, kemudian generasi selepas itu. Selepas itu akan datang satu kaum yang memberikan penyaksian tanpa diminta, mereka mengkhianati amanah, tidak dipercayai, bernazar tetapi tidak menunaikannya dan akan tampak pada mereka kegemukan.”
Umar al-Khattab RA pernah melihat seorang lelaki yang perutnya buncit lalu bertanya, “Apa ini?” Lelaki itu menjawab, “Ini adalah nikmat Allah.” Umar membalas, “Bahkan ini adalah azab Allah.” Dalam riwayat lain beliau berkata, “Kami berlindung kepada Allah daripada perut yang buncit.”
Mu‘az bin Jabal meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menyarankan agar umat Islam menerima sesuatu pemberian selagi ia halal dan tidak bercanggah dengan syariat. Namun jika pemberian itu menjadi rasuah menurut agama, maka jangan sekali-kali menerimanya. Baginda menjelaskan akan tiba suatu masa manusia tetap menerima rasuah kerana takut miskin dan terlalu berhajat kepada harta walaupun mengetahui ia dilarang.
Huzayfah al-Yamani menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda akan datang satu masa manusia sangat sibuk dengan jual beli tetapi sukar mencari orang yang jujur dan amanah, sehingga orang akan berkata bahawa di suatu kampung masih ada seorang lelaki yang amanah. Mereka memuji kerajinannya dan kecerdasannya, namun di dalam hatinya tidak ada iman walau sebesar biji sawi.
Huzayfah berkata bahawa pada waktu itu beliau tidak lagi yakin untuk bermuamalat dengan sesiapa secara umum. Jika orang itu Islam, beliau hanya berharap agamanya dapat menahannya daripada menipu. Jika bukan Islam, beliau hanya bergantung kepada undang-undang bagi menuntut haknya dan hanya berani berjual beli dengan segelintir orang yang masih dipercayai.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda akan datang satu masa orang beriman tidak mampu menyelamatkan imannya kecuali dengan berpindah dari puncak gunung ke puncak gunung dan dari satu gua ke gua yang lain demi menjaga agamanya.
Nabi SAW menjelaskan bahawa pada waktu itu rezeki tidak diperoleh kecuali dengan melakukan perkara yang dimurkai Allah. Kebinasaan seseorang bukan kerana dirinya semata-mata tetapi kerana tunduk kepada desakan orang terdekat seperti isteri, anak-anak, ibu bapa, keluarga atau jiran.
Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah maksud seseorang binasa kerana mengikut kehendak orang sekelilingnya?” Baginda menjawab, “Mereka akan mendesaknya dan menghina dia kerana kesempitan hidup sehingga akhirnya dia mencampakkan dirinya ke dalam kebinasaan yang menghancurkan dirinya sendiri.”
Rasulullah SAW juga memberi amaran bahawa akan datang suatu masa manusia tidak lagi peduli tentang sumber rezeki, sama ada halal atau haram. Baginda bersabda, “Akan tiba satu masa di mana setiap orang pasti akan terlibat dengan riba. Jika dia tidak memakannya secara langsung, sekurang-kurangnya dia akan terkena debunya.”
Pada suatu hari, Bani Sulaim membawa sejongkong emas hasil zakat perlombongan kepada Rasulullah SAW lalu para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, emas ini datang daripada lombong kita.” Baginda bersabda, “Kelak kamu akan melihat banyak lagi lombong, namun yang akan menguasainya adalah orang-orang yang jahat.”
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berpesan, “Bersegeralah kamu melakukan amal soleh sebelum datangnya fitnah yang sangat dahsyat seperti malam yang sangat gelap. Ketika itu ada orang yang pada waktu pagi masih beriman tetapi pada waktu petang sudah menjadi kafir, atau pada waktu petang masih beriman tetapi keesokan harinya telah menjadi kafir kerana dia sanggup menjual agamanya demi sedikit keuntungan dunia.”
Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Wahai kaum Muhajirin, akan datang suatu masa jika lima perkara ini berlaku dalam kalangan kamu maka tiada lagi kebaikan untuk kalian. Aku berlindung kepada Allah agar kamu tidak hidup pada zaman itu.”
Baginda menjelaskan bahawa apabila zina dilakukan secara terbuka, akan merebak penyakit berjangkit dan penyakit baharu. Apabila sukatan dan timbangan dikurangkan dalam jual beli, mereka akan ditimpa kemarau, kesempitan hidup dan kezaliman pemimpin. Apabila zakat tidak dikeluarkan, hujan akan ditahan daripada turun. Apabila janji Allah dan Rasul dimungkiri, musuh akan menguasai mereka dan mengambil sebahagian harta mereka. Apabila pemimpin tidak melaksanakan hukum Allah dan tidak menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup, Allah akan menurunkan bencana dalaman yang merosakkan mereka.
Abdullah bin Mas‘ud meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menyebut akan datang suatu masa seseorang hanya memberi salam kepada orang yang dikenalnya sahaja. Dunia perniagaan berkembang pesat sehingga wanita turut keluar bekerja membantu suami mencari nafkah, hubungan silaturrahim diputuskan, saksi palsu berleluasa sedangkan yang mengetahui kebenaran memilih untuk diam dan alat tulis menjadi sangat mudah didapati.
Fitnah muamalat ini menggambarkan perubahan besar dalam cara manusia mengejar harta dan berjual beli sehingga kejujuran semakin pupus dalam hubungan sesama manusia.
Sumber dari Zaki Sapuan Al-Hafiz

Tiada ulasan:
Catat Ulasan