Khamis, 29 Ogos 2024

KONSEP NUR MUHAMMAD DI DUNIA MELAYU - Siri 2

 


KONSEP NUR MUHAMMAD DI DUNIA MELAYU - Siri 2
Penulis : DR. MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY (UEM)
Bab yang berikutnya ialah tentang penciptaan Adam a.s. (hal 6 dst).
Kitab al-Kaukab al-Durri fi al-Nur al-Muhammadi oleh Syaikh Muhammad bin Isma’il Daud
al-Fatani rh
Kitab ini (terbitan Khazanah al-Fattaniyyah, Kuala Lumpur, 2001). Kitab ini yang dikarang oleh penulisnya pada tahun 1304 Hijrah, di Makkah, berbicara tentang tajuk yang berkenaan dari halaman 2-7. Isinya berdasarkan riwayat Ka’ab al-Akhbar, sebagaimana yang ada dalam kitab “Kashf al-Ghaibiyyah” karangan Syaikh Zain al-‘Abidin al-Fatani. Antaranya maklumatnya ialah: Tuhan menggenggam satu genggam daripada NurNya, diperintah ia menjadi Muhammad, ia menjadi Muhammad, ia menjadi tiang, ia sujud kepada Allah, dibahagi nur itu kepada empat bahagi, pertama menjadi Lauh, kedua Qalam, perintah menulis kepada Qalam, sampai kepada umat nabi-nabi, yang taat dan yang derhaka, dengan akibat-akibat mereka. Sampai disebutkan riwayat tentang sesiapa yang melihat nur itu pada bahagian-bahagian tertentu jadilah ia mempunyai sifat-sifat tertentu. Sekelian makhluk dijadikan daripada nurnya. Ia berakhir dengan menyebut makhluk sembahyang dengan huruf nama Ahmad dan Muhammad, berdiri qiyam seumpama alif, ruku’ seumpama ha’, sujud seumpama mim, duduk seperti rupa dal. Juga dikatakan makhluk dijadikan atas rupa huruf nama Muhammad, kepala bulat seperti mim, dua tangan seperti rupa ha’, perut seperti rupa mim, dua kaki seperti rupa dal.
Kitab “Daqa’iq al-Akhbar fi Dhikr al-jannah wa al-Nar” terjemahan Melayu oleh Syaikh Ahmad ibn Muhammad Yunus Langka:
Kitab ini diterjemahkan oleh beliau pada 1312 Hijrah di Makkah dahulunya diterbitkan oleh dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah, Mesir. Kemudian ia diterbitkan oleh Maktabah wa matba’ah al-ma’arif, Pulau Pinang, tanpa tarikh. Isi kitab ini berkenaan dengan nur Muhammad s.a.w., asal kejadiannya, bagaimana semua makhluk dijadikan daripadanya adalah sebagaimana yang telah disebutkan oleh Syaikh Zain al-‘Abidin dalam “Kasshf al-Ghaibiyah”nya yang menjadikan kitab ini sebagai satu daripada sumber-sumbernya, sebagaimana yang dinyatakan dalam bahagian permulaan kitabnya. Bab pertamanya sama isinya dengan apa yang ada dalam kitab terjemahan ini.
Kitab Madarij al-Su’ud oleh Nawawi al-Bantani rh
Kitab “Madarij al-Su’ud ila ‘ktisa’ al-Burud”, dalam Bahasa Arab, syarah bagi kitab “Maulid al-Barzanji”. Dalam mensyarahkan kata-kata dalam “al-Barzanji” hal. 2-3 (Surabaya, tanpa tarikh dan Singapura, tanpa tarikh) bermaksud “Segala puji-pujian bagi Allah yang membuka (seluruh) wujud ini dengan Nur Muhammad (‘al-Nur al-Muhammadi”) yang mengalir dalam tiap-tiap perkara (perkara yang ditakdirkannya oleh Allah taala sebelum daripada Ia menjadikan langit-langit dan bumi selama lima puluh ribu tahun.
Kemudian kata Syaikh Nawawi rh lagi menukil Ka’ab al-Akhbar Allah meredhainya: “Bila Allah hendak menjadikan sekelian makhluk dan mengamparkan bumi dan menegakkan langit, Ia mengambil segempal daripada nurNya firmanNya Jadilah kamu Muhammad, maka jadilah ia sebagai tiang daripada nur dan gemilang bercahaya sehingga sampai kepada hijab zulmah kemudian ia sujud, sambil katanya: Al-hamdulillah, kemudian Allah berfirman kerana itu Aku jadikan engkau dan menamakan engkau Muhammad, daripada engkau Aku memulakan penciptaan dan (dengan engkau) Aku mengkhatamkan sekelian rasul; kemudian Allah taala membahagikan nurnya itu kepada empat bahagian, dijadikan daripada yang pertamanya Lauh daripada yang keduanya al-qalam, kemudian Allah berfirman kepada Qalam tulislah, kemudian qalam … selama seribu tahun kepara kehebatan Kalam Allah taala kemudian ia berkata; Apa yang hamba hendak tuliskan, Tuhan berfirman ‘Tulislah ‘la ilaha illa’Allah Muhammadun Rasulullah’ maka Qalam pun menulis yang demikian itu, kemudian ia menjadi terbimbing kepada Ilmu Allah dalam makhlukNya, kemudian ia menulis anak-anak Adam sesiapa yang taatkan Allah dimasukkanNya ke dalam Syurga dan sesiapa yang derhaka kepadaNya dimasukkanNya ke dalam Neraka;
Kemudian (ia menulis) tentang umat Nuh, sesiapa yang taatkan Allah dimasukkanNya ke dalam Syurga dan sesiapa yang derhaka kepadaNya dimasukkanNya ke dalam Neraka…
Demikian seterusnya dengan menyebut umat nabi Ibrahim, … umat nabi Musa …, umat Nabi ‘Isa …, sampai kepada umat nabi Muhammad s.a.w., … kemudian bila Qalam hendak menulis sesiapa yang derhaka dari umat Muhammad akan dimasukkan ke dalam Neraka, terdengar suara dari Tuhan yang Maha Tinggi ‘wahai Qalam, beradablah, maka pecahlah Qalam kerana rasa haibah itu, …, kemudian ini diikuti dengan sebutan tentang bahagian ketiga dijadikan ‘Arasy, dan bahagian yang keempat dibahagi empat pula daripada yang awalnya dijadikan akal, daripada yang kedua dijadikan ma’rifah, daripada yang ketiga dijadikan cahaya ‘Arasy, dan cahaya mata, serta cahaya siang, maka tiap-tiap cahaya ini adalah daripada Nur Muhammad.
Kemudian dinyatakan yang bahagian yang keempat itu diletakkan di bawah ‘Arasy sehinggalah Allah menjadikan Adam a.s., maka Allah letakkan nur itu pada belakangnya, dan dijadikan para malaikat sujud kepadanya, dimasukkannya ke dalam Syurga, walhal para malaikat bersaf di belakang Adam, melihat kepada nur Muhammad. Bila Adam alaihis-salam bertanya mengapa malaikat berdiri di belakangnya bersaf Allah menjawab mereka itu sedang melihat kepada nur kekasihNya Muhammad yang menjadi khatam sekelian rasul dan anbia. Kemudian Adam meminta nur itu dipindahkan ke hadapan, lalu diletakkan pada dahi Baginda. Maka malaikat mengadap wajahnya pula. Adam meminta pula dipindahkannya lalu diletakkan pada jari telunjuknya supaya ia boleh melihatnya; maka bertambah-tambahlah cantiknya nur itu. Kemudian disebut nur itu dipindah kepada Hawwa’, kemudian kepada nabi Shith, dan seterusnya. Demikianlah nur itu berpindah daripada satu rahim yang suci kepada rahim suci yang lain, sampai ia kepada sulbi ‘Abdullah bapanya, kemudian keluarlah ia ke dunia melalui rahim ibunya. (hal. 3).

(Jabatan Mufti Negeri Sembilan hanya memanjangkan tulisan ini untuk satu penelitian berkenaan isu "NUR MUHAMMAD". Al-Fatihah buat Dr Muhammad 'Uthman El-Muhammady yang telah kembali ke rahmatullah)

KONSEP NUR MUHAMMAD DI DUNIA MELAYU - Siri 1

 


KONSEP NUR MUHAMMAD DI DUNIA MELAYU
Penulis : DR. MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY (UEM) - Siri 1
(Jabatan Mufti Negeri Sembilan hanya memanjangkan tulisan ini untuk satu penelitian berkenaan isu "NUR MUHAMMAD". Al-Fatihah buat Dr Muhammad 'Uthman El-Muhammady yang telah kembali ke rahmatullah)
بسم الله الرحمن الرحيم
نحمده ونصلى على رسوله الكريم
Tulisan ini insha’ Allah akan membicarakan konsep “Nur Muhammad” sebagaimana yang ada dalam beberapa teks Islam Dunia Melayu seperti teks Nur al-Din al-Raniri, Syaikh Zain al-‘Abidin al-Fatani, antara lainnya, semoga Allah memberi rahmat kepada mereka semuanya. Juga akan diberikan perhatian kepada “Madarij al-Su’ud” dalam Bahasa Arab, karangan Syaikh Nawawi al-Bantani, rahimahu’Llahu Ta’ala. Pengamatan akan diberikan berdasarkan sumber-sumber tafsir dan hadith yang muktabar di kalangan Ahlis-Sunnah wal-jama’ah. Dengan ini diharapkan sangkaan yang tidak enak dan tidak manis terhadap para ulama kita akan dihilangkan, dan kita beradab dengan mereka sebagaimana yang dikehendaki dalam hadith “al-din al-nasihah” dalam hubungan dengan ‘a’immatul-Muslimin’, antaranya sebagaimana yang dihuraikan oleh al-muhaddithin seperti Imam al-Nawawi rd. Sudah tentu ini adalah satu keperluan dalam menunjukkan kemuliaan Nabi s.a.w. yang bukan hanya “basyar” atau manusia yang terjadi daripada tanah seperti anak-anak Adam yang lain. Ini adalah selain daripada keperluan kita mencari kejernihan dan kebenaran dalam ilmu.
Penulis ini yang menyedari dirinya bukan ahli dalam bidang ini bergantung kepada panduan teks-teks ulama Sunni dalam bidang yang berkenaan dan amat memerlukan teguran mereka yang pakar di dalamnya. Mudah–mudahan kita ini mengenali Nabi kita sebenarnya, mencintainya dan dengan itu kita cinta kepada Allah dan mendapat rahmatNya. Amin.
Kitab Syaikh Nur al-Din al-Raniri rh
Syaikh Nur al-Din al-Raniri menulis tentang tajuk ini dalam kitabnya Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard yang tercetak di tepi kitab Taj al-Muluk (tanpa tarikh). (Lihat tulisan penulis ini “Kosmologi para Fuqaha & Ulama Sufiah Dalam pemikiran Melayu”, dalam Kosmologi Melayu, penyelenggaraan Yaacob Harun, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2001, hal.10-22). Antara nas-nas yang disebut di dalamnya ialah hadith qudsi yang terkenal yang bermaksud: “Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi, maka Aku kasih bahawa Aku dikenali, maka Aku jadikan makhluk, maka dengannya mereka mengenaliKu”. (Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard, hal. 10). Juga dinukilnya hadith bermaksud: “Sesungguhnya Allah menjadikan ruh nabi dari zatNya dan Ia menjadikan alam semuanya dari ruh Muhammad s.a.w.” (ibid. 10). Maksudnya Ia menjadikan ruh nabi daripada tidak ada kepada ada dari SisiNya, bukannya bermakna bahawa sebahagian daripada Tuhan dijadikan ruh nabi. Dinukilnya juga hadith yang bermaksud: “Aku (Nabi s.a.w.) dari Allah, dan orang mu’min dariku”. (ibid. 10).
Ertinya sebagaimana yang dihuraikannya sendiri bahawa nabi adalah makhluk yang pertama yang dijadikan Allah dan sekelian orang mu’min itu dijadikan Allah daripada Baginda (iaitu daripada nurnya). (ibid. hal. 10). Dinukilkan beliau juga hadith yang bermaksud: “Aku (Tuhan) menjadikan segala perkara kerana engkau (wahai Muhammad) dan Aku jadikan engkau keranaKu” (ibid. 10).
Juga dinukilkannya hadith yang bermaksud “kalaulah tidak kerana engkau Aku tidak jadikan sekelian falak ini.” (ibid. 11). Dinukilkan beliau juga hadith yang bermaksud: “Aku telahpun menjadi nabi walhal Adam berada antara air dan tanah” (ibid. 11).
Kemudian beliau menukil hadith nur Muhammad. Antaranya ialah yang bermaksud: “Perkara yang paling awal yang diciptakan Allah ialah akal” (ibid. 11); dan yang bermaksud: “Perkara yang paling awal yang diciptakan Allah ialah al-Qalam”, (ibid. 11); dan yang bermaksud: “Perkara yang awal sekali yang diciptakan Allah ialah ruh-ruh” (ibid. 11). Beliau menghuraikan bahawa akal, qalam, dan ruh itu ialah kejadian nur Muhammad s.a.w. sebagaimana yang ternyata daripada hadith yang dinukilkan beliau yang bermaksud: “Perkara yang paling awal yang diciptakan Allah ialah nurku” (ibid. 11). Dinukilkannya juga hadith yang bermaksud: “Perkara yang paling awal yang dijadikan Allah ialah ruhku”. (ibid. 11).
Mengikut Syaikh Nur al-Din, Allah menjadikan Nur Muhammad itu daripada pancaran Nur AhadiahNya, yang beliau nukilkan ialah kenyataan kitab al-Manzum yang bermakna: “Telah berdempeklah sifat Jalal dan Sifat Jamal, maka ghaliblah Jamal itu atas sifat jalal, maka dijadikan Allah daripada dua sifat itu Ruh Muhammad, iaitu daripada ‘adam kepada wujud (daripada tidak ada kepada ada - uem) (Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard.12). Kita perlu nyatakan bahawa yang dijadikan itu makhluk juga, bukannya sambungan daripada zat atau Diri Tuhan, sebab kalau demikian ada dua yang kadim, dan itu kesyirikan.
Kata beliau bahawa selepas Allah menjadikan Nur Muhammad atau Ruh Muhammad itu Ia tilik kepadanya dengan tilik mahabbah atau kasih, maka ia malu dan berpeluh, dari peluhnya itulah dijadikan ruh-ruh sekelian anbia, aulia dan nyawa sekelian orang mu’min yang salih, dan daripada nyawa sekelian mu’min yang salih itu dijadikan nyawa sekelian mu’min yang fasik, daripada mu’min yang fasik dijadikan nyawa sekelian mu’min yang munafik dan mereka yang kafir. (ibid. 13).
Dan dijadikan daripada insan nyawa insan itu nyawa sekelian malaikat, dan daripada malaikat itu nyawa sekelian jin, dan daripada jin itu nyawa sekelian syaitan, dan daripada syaitan itu nyawa sekelian binatang, daripada binatang itu nyawa sekelian tumbuh-tumbuhan, setengahnya mempunyai martabat yang melebihi yang lainnya; jadilah pula segala jenis nafas tumbuh-tumbuhan itu dan segala anasir itu iaitu hawa, api, air dan angin (ibid. 13).
Kemudian beliau menyebut bagaimana Allah menilik dengan tilikan haibah pula, hancurlah ia, setengahnya menjadi air, setengahnya menjadi api yang menghanguskan air, keluarlah asap, naik ke angkasa, daripadanya di Allah tujuh petala langit. Setelah itu ada bakinya yang tinggal, daripadanya dijadikan matahari, bulan, dan bintang. (ibid.13). Demikian seterusnya.
Beliau menukilkan pula riwayat yang lain, yang masyhur, bahawa Allah menjadikan sepohon kayu dengan empat dahannya, dinamakan Syajaratul-Yaqin. Kemudian dijadikan Nur Muhammad dalam bentuk burung merak, diletakkan atas pohon itu, lalu ia mengucap tasbih kepada Allah, selama tujuh puluh ribu tahun. Bila merak itu terpandang terlalu cantik rupanya, dengan elok bulunya, dan lainnya, sujudlah ia lima kali sujud, jadilah sujud itu kemudiannya sembahyang lima waktu yang wajib atas umat Muhammad s.a.w.
Kemudian dikisahkan bahawa Allah menjadikan kandil daripada akik yang merah. (ibid. 15).
Kemudian Syaikh Nur al-Din menukil riwayat yang menyebut Nur Muhammad dalam bentuk burung merak
Kitab “Kashf al-Ghaibiyyah” oleh Zain al-‘Abidin al-Fatani rh:
Antara kitab Jawi yang popular sebagai rujukan ialah kitab “Kashf al-Ghaibiyyah”
Dalam kitab “Kashf al-Ghaibiyyah” (berdasarkan karangan asalnya “Daqa’iq al-Akhbar fi Dhikr al-Jannah wa al-Nar” karangan Imam ‘Abd al-Rahim bin Ahmad al-Qadhi, dan kitab “Durar al-Hisan” karangan al-Suyuti, dan “Mashariq al-Anwar” oleh Shaikh Hasan al-‘Adawi antara lainnya), oleh Syaikh Zain al-‘Abidin al-Fatani rh (Maktabah wa Matba’ah dar al-Ma’arif, Pulau Pinang, t.t.) Kitab ini dikarang oleh beliau pada tahun 1301 Hijrah. Pada halaman 3 dst. terdapat bab awal berkenaan dengan penciptaan roh teragung, (al-Ruh al-A’zam), iaitu nur Nabi kita Muhammad ‘alaihis-salatu was-salam. Kata beliau:
“Sesungguhnya telah datang pada khabar oleh bahawasanya Allah taala telah menjadi ia akan satu pohon kayu baginya empat dahan, maka menamai akan dia Syajarat al-Muttaqin (Pokok Orang-orang yang bertaqwa), dan pada setengah riwayat Shajarah al-yaqin (Pokok Keyakinan), kemudian telah menjadi ia akan Nur Muhammad di dalam hijab daripada permata yang sangat putih seumpama rupa burung merak dan dihantarkan ia akan dia atas demikian pohon kayu itu , maka mengucap tasbihlah oleh Nur itu atas pohon kayu itu kadar tujuh puluh ribu tahun, kemudian menjadi akan cermin kemaluan maka dihantarkan akan dia dengan berhadapannya; maka tatkala menilik oleh merak itu di dalam cermin itu melihat ia akan rupanya terlebih elok dan terlebih perhiasan kelakuan, maka malu ia daripada Allah taala, maka lalu berpeluh ia maka titik daripadanya enam titik, maka menjadi oleh Allah taala daripada titik yang pertama akan ruh Abu Bakar radiya’Llahu ‘anhu, dan daripada titik yang kedua itu akan ruh ‘Umar radiya’llahu ‘anhu dan daripada titik yang ketiga itu akan ruh ‘Uthman radiya’Llahu ‘anhu, dan daripada titik yang keempat itu akan ruh ‘Ali radiya’Llahu ‘anhu, dan daripada titik yang kelima itu akan pohon bunga mawar dan daripada titik yang keenam itu akan padi” (hal. 3).
Kemudian disebut bagaimana Nur Muhammad itu sujud lima kali, dengan itu, menjadi fardu sujud, lalu difardukan sembahyang yang lima waktu atas Muhammad dan ummatnya. Kemudian disebut Allah menilik kepada nur itu, lalu ia malu, berpeluh kerana malunya. Daripada peluh hidungnya Allah jadikan malaikat, daripada peluh mukanya Allah jadikan ‘Arasy, Kursi, Lauh dan Qalam, matahari, bulan, hijab, segala bintang, dan barang-barang yang ada di langit. Daripada peluh dadanya dijadikan anbia, mursalin, ulama, syuhada dan solihin. Daripada peluh belakangnya dijadikan Bait al-ma’mur, Ka’bah, Bait al-Maqdis, dan segala tempat masjid dalam dunia. (hal. 3-4).
Disebutkan beberapa kejadian lagi daripada peluhnya itu:
Daripada peluh dua kening: mukminin dan mukminat dari umat Muhammad;
Daripada peluh dua telinganya: arwah Yahudi dan Nasrani, dan Majusi, golongan mulhid, kafir yang engkar kebenaran, munafikin.
Daripada peluh dua kaki: segala bumi dari Timur dan Barat dan yang ada di dalamnya (hal. 4)
Kemudian Allah memerintah nur itu supaya memandang ke hadapan, di hadapannya ada nur, di kanan dan kirinya juga nur. Mereka itu ialah Abu Bakar, ‘Umar, ‘Uthman, dan ‘Ali. Kemudian Nur itu mengucap tasbih selama tujuh puluh ribu tahun.
Kata pengarang: dijadikan nur para anbia daripada Nur Muhammad s.a.w.; ertinya dijadikan arwah para anbia daripada peluh ruh Muhammad s.a.w., dan dijadikan segala ruh umat anbia itu daripada peluh arwah anbia mereka itu.
Kemudian diriwayatkan bahawa dijadikan oleh Allah kandil daripada akik yang merah, dilihat orang akan zahirnya itu daripada bahagian dalamnya, kemudian dijadikan rupa Muhammad seperti Baginda di dunia ini, kemudian diletakkan di dalam kandil tersebut, berdiri Baginda di dalamnya seperti berdirinya di dalam sembahyang; kemudian berkeliling roh segala anbia dan lainnya di sekeliling kandil nur Muhammad ‘alaihis-salam, mengucap tasbih dan mengucap tahlil mereka itu selama seratus ribu tahun; kemudian Allah menyuruh segala ruh itu menilik kepadanya; yang menilik kepada kepalanya menjadi khalifah dan sultan antara sekelian makhluk; yang menilik kepada dahinya menjadi amir yang adil; yang menilik kepada dua matanya menjadi hafiz kalam Allah; yang melihat dua keningnya menjadi tukang lukis; yang melihat kepada dua telinganya jadilah ia menuntut dengar dan menerima (pengajaran); yang melihat dua pipinya jadilah ia berbuat baik dan berakal; yang melihat dua bibir mulutnya menjadi orang-orang besar raja. Yang melihat hidung menjadi hakim dan tabib dan penjual bau-bauan. Yang melihat mulut menjadi orang puasa. Demikian seterusnya dengan melihat anggota tertentu, jadilah orang itu mempunyai sifat-sifat tertentu di dunia nanti. Misalnya yang melihat dadanya menjadi orang alim, mulia dan mujtahid. (hal. 5). Dan orang yang tidak menilik sesuatu kepadanya jadilah ia mengaku menjadi Tuhan seperti Fir’aun dan yang sepertinya. (hal. 5).
Beliau menyebut hadith qudsi ( كنت كنزا مخفيا فأحببت أن أعرف فخلقت الخلق لاعرف )
Adalah Aku perbendaharaan yang tersembunyi maka Aku kehendak akan diperkenal akan daku maka Aku jadikan segala makhluk supaya dikenalnya akan daku. (hal. 6)
Kemudian beliau menyebut hadith Nabi s.a.w. أول ما خلق الله تعالى نورى وفى رواية روحى
Ertinya yang awal-awal barang yang suatu dijadikan Allah taala itu nurku dan pada suatu riwayat ruhku. Kata pengarang ini: Maka adalah sekelian alam ini dijadikan Allah subhanahu taala daripada sebab nur Muhammad s.a.w. seperti yang teleh tersebut. Lalu ia menyebut pula haditrh qudsi: خلقت الاشياء لاجلك وخلقتك لاجلى
Ertinya: Aku jadikan segala perkara itu kerana engkau ya Muhammad dan Aku jadikan akan dikau itu kerana Aku, yakni dijadikan nur Muhammad itu dengan tiada wasitah suatu jua pun. (hal. 6)
Melalui kitab terkenal ini tersebar fahaman tentang konsep Nur Muhammad di kalangan Muslimin sebelah sini.

Selasa, 30 Julai 2024

KESEDARAN MA'RIFATULLAH

 


KESEDARAN MA'RIFATULLAH*
DEFINISI MA’RIFATULLAH ITU ADALAH "HAKIKAT KESEDARAN"...
Kesedaran yang Dibimbing oleh Hidayah Allah SWT dan Kesedaran Insan sebagai Hamba Allah SWT.
Serta Mewajibkan diri senantiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk MENGENAL ALLAH.
Kerana HAKIKAT KESEDARAN itu akan dapat menentukan Kewujudan Insan.
Dan tanpa Kesedaran, maka Insan akan hidup didalam keadaan tidak Sempurna.
KESEDARAN MA’RIFATULLAH :
1) Yang pertama, adalah Kesedaran terhadap Kewujudan Allah SWT.
Bahawasanya,
TIADA TUHAN YANG WAJIB DISEMBAH SELAIN ALLAH SWT.
“LAA ILAAHA ILLALLAH”.
2) Yang kedua, adalah Kesedaran terhadap Kedudukan Insan Dihadapan Allah SWT.
3) Yang ketiga, adalah Kesedaran terhadap Kewajipan Insan.
4) Yang keempat, adalah Kesedaran terhadap Sikap Batin Insan.
Tanpa "KESEDARAN MA’RIFATULLAH", maka segala Kehidupan Insan nescaya akan menjadi Hampa Belaka.
Dan tanpa "KESEDARAN MA'RIFAT", maka segala Amal Ibadahnya juga akan menjadi Dusta Belaka.
Didalam Mengkaji akan HAL MA’RIFAT, maka Wajiblah teliti dan lebih berhati-hati. Janganlah pula sampai terjebak didalam Kesalahan Definisi.
Agar ianya akan senantiasa menjadi Benar dan Lurus sesuai dengan Ajaran Islam.
Apabila KESEDARAN sudahpun Membuka PINTU MA’RIFAT, maka AIR TELAGA MA'RIFAT nescaya akan senantiasa Mengalir membawa 'RAHMAT' daripada Allah SWT.
Apabila KESEDARAN sudahpun Menempuhi JALAN MA’RIFAT, maka Kehidupan akan menjadi Benar dan Lurus Menuju kepada Allah AS-SOMAD.
Kelak akan disambut pula di Akhirat :
“SALAAMUN QAWLAM MIRRABBIRRAHIIM, WAMTAAZUL YAWMA AYYUHAL MUJRIMUUN”.
(Kepada mereka dikatakan) : “Salam sebagai ucapan Selamat dari Tuhan Yang Maha Penyayang.”
Dan (Dikatakan kepada orang-orang Kafir) : “Berpisahlah kamu sekalian (dari orang-orang Mukmin) pada hari itu, hari orang-orang yang berbuat jahat.”
Maka inilah Hakikat kandungan ASMA’ SIRR yang Menyimpan Ajaran KESEDARAN MA’RIFAT.
MA’RIFATULLAH itu tersangat-sangatlah sulit untuk ianya Didefinisikan, namun MA’RIFATULLAH itu dapatlah diertikannya dengan :
"MENGENAL ALLAH SWT DENGAN SEBENAR-BENARNYA KENAL..."
Namun MA’RIFATULLAH itu tidaklah hanya sekedar TAHU (To Know),
Melainkan juga haruslah MEMAHAMI (To Understand),
MENGHAYATI (To Perceive),
MEYAKINI (To Believe Firmly In),
Dan MENGAMALKAN (To Apply)...
Pada Hakikatnya, MA’RIFATULLAH itu adalah "ILMU" sekaligus "ALAMI".
Ertinya adalah PENGETAHUAN yang memiliki unsur PENGHAYATAN, KEYAKINAN dan PENGALAMAN.
Berbeza pula dengan "Ilmu" yang diertikannya dengan sekadar cukup ianya Dibaca dan Diketahui sahaja. Iaitu menjadi sepertimana Burung Kakak Tua.
Kalam Hikmah SUFI :
“Untuk Menguasai ILMU itu agar ianya Tercapai, maka Wajiblah dengan melalui Proses atau Perjalanan secara Zahir mahupun Batin...”
“ALAMI” itu akan dapat Terwujud apabila ianya benar-benar Diamalkan sahaja.
Itu berertinya bahawa, “ALAMI” itu tidaklah cukup dengan hanya sekadar ianya Diketahui semata-mata.
Melainkan, haruslah ianya Dihayati dengan Baik, serta Diyakini dengan Bersungguh-Sungguh dan Diamalkannya dengan Tekun.
"MA’RIFATULLAH" atau “MENGENAL ALLAH” itu adalah "WAJIB" Hukumnya bagi setiap Umat Islam.
Setiap Insan Wajiblah MENGENAL SANG MAHA PENCIPTANYA terlebih dahulu.
Beragama tanpa MENGENAL RABB'NYA itu di ibaratkannya seperti Kapal yang Berlayar, tetapi tidak tahu Arah Tujuannya hendak kemana.
Ibaratnya Berkelana, tetapi tidak tahu sekarang telah berada dimana, atau di ibaratkannya merantau di alam dunia, tetapi tidak tahu mencari siapa ?.
Maka MENGENAL ALLAH itu adalah merupakan RUKUN ISLAM yang pertama, dan yang memiliki kedudukan yang sangat-sangat Tinggi lagi Mulia daripada segala apa-apapun yang ada didunia ini.
Kerana, sebelum kamu Menegakan Solat, Puasa, Zakat dan Haji. Maka terlebih dahulu kamu telahpun Diwajibkan untuk BERSYAHADAT.
SYAHADAT itu maknanya adalah "KESAKSIAN".
Iaitu TITIK AWAL MA’RIFATULLAH.
Namun, tidaklah kesemua orang yang berada di Dunia Akhir hari ini telahpun BERSAKSI (BERSYAHADAT) dan Memahami apakah yang DIPERSAKSIKANNYA (DISYAHADATKAN).
Pada suatu hari, adanya seorang murid yang sedang melangsungkan Pernikahannya.
Pada saat dia akan Akad Nikah, maka Gurunya pun berkata :
“Aku ingin cucuku yang berusia 7 tahun ini menjadi SAKSI didalam Akad Nikah ini...”
Maka, sudah tentulah segenap orang-orang tua yang hadir di Majlis Akad Nikah itu menjadi terkejut dan sangat-sangat keberatan dengan usulan Gurunya tersebut.
Namun Gurunya tetap juga bertegas dan berkata :
“Mengapakah tidak boleh ?
Cucuku ini sudahpun menjalankan Solat dan mampu membaca Al-Qur'an...”
Maka orang-orang tua disitu pun berkata :
“Tapi Imam, meskipun begitu, tetap sahaja dia masih terlalu kecil untuk dijadikan sebagai SAKSI.
Dia masih belum mampu mengerti apa yang sedang Hakikatnya dia PERSAKSIKAN didalam Akad Nikah ini, bagaimana mungkin dijadikannya sebagai SAKSI...”
Lalu Gurunya pun menjawab :
”Sebenar-benarnya, begitulah juga dengan keadaan kalian sekarang !
Setiap hari kalian Mengucapkan SYAHADAT (KESAKSIAN). Namun pada Hakikatnya kalian tidak pernah pun Mengetahui dan Memahami apa yang sedang DIPERSAKSIKAN (DISYAHADATKAN)...”
Maka begitulah Gurunya pada pagi itu, yang sebenar-benarnya hanyalah ingin memberikan sebuah Pelajaran (HIKMAH) dengan secara Realiti Hal Keadaan kepada Muridnya.
MA’RIFATULLAH atau MENGENAL ALLAH itu pada Hakikatnya adalah merupakan Akar Pokok ataupun Tapak Asas kepada Agama.
Iaitu adalah JALAN MENUJU ALLAH SWT, maka ia adalah Tujuan yang paling utama sekali didalam Hidup Insan Beragama.
Apalah gunanya bersungguh-sungguh Mendirikan TIANG AGAMA (SOLAT) terlebih dahulu, sedangkan TAPAKNYA (MA'RIFATULLAH) tidak lagi ada ?
Apakah akan Kukuh PENDIRIAN (IMAN) seseorang Insan itu tanpa ada TAPAKNYA ?
Jikalau Didunia sahaja telahpun Gagal, maka bagaimanakah mungkin seseorang Insan itu akan dapat Menuju ke Negeri Akhirat ?
Maka MA’RIFATULLAH (MENGENAL ALLAH) itu adalah merupakan "TITIK AWAL" dan "TITIK AKHIR" bagi Insan Beragama.
Oleh sebab itu, tidaklah sesekali Benar bilamana adanya ungkapan yang mengatakan :
“Janganlah mengajarkan ILMU MA’RIFAT sebelum murid itu belum benar-benar lagi Menjalani SYARIAT, TAREKAT dan HAKIKAT...”
Padahal ILMU MA’RIFAT ini adalah merupakan TITIK AWAL dan TITIK AKHIR didalam Beragama.
Sepertimana Kalam Hikmah :
"AWALLUDDIN MA'RIFATULLAH".
Ertinya : Seawal-awalnya Agama, adalah MENGENAL ALLAH.
Sebelum seseorang Insan itu Menjalankan SYARIAT, TAREKAT dan HAKIKAT,
Maka adalah WAJIB bagi ia mengetahui terlebih dahulu siapakah RABB'NYA (BERMA’RIFATULLAH atau MENGENAL ALLAH).
Begitulah pula disaat Menjalankan SYARIAT, TAREKAT dan Mendalami HAKIKAT. Maka kesemuanya akan tetap sahaja Difokuskan ke JALAN MA’RIFATULLAH.
Ada pula orang-orang yang beranggapan bahawa SYARIAT, TAREKAT, HAKIKAT dan MA’RIFAT itu digambarkan sepertinya Peringkat anak tangga.
SYARIAT diposisikan berada pada anak tangga yang dibawah, setelah Menjalani sahaja SYARIAT, kemudiannya naik pula ke anak tangga TAREKAT, lalu naik ke anak tangga HAKIKAT dan Penamatnya pula ke anak tangga MA'RIFAT.
Dan pada akhirnya, ada yang beranggapan bahawa apabila sudah Sampai sahaja ke anak tangga HAKIKAT dan MA’RIFAT. Lalu ia boleh sahaja meninggalkan anak tangga SYARIAT (Solat, Puasa dan Hukum Hakam Syariat yang lain-lainnya).
Sesungguhnya, tidak adanya Ajaran yang semacam itu didalam JALAN MENUJU MA’RIFATULLAH.
* 4 DIMENSI MENUJU MA’RIFAT.
Mencapai MA’RIFAT itu boleh sahaja dengan melalui 4 Dimensi. Iaitu :
1) Dimensi yang pertama adalah Memiliki Dasar IMAN Yang Kukuh.
2) Dimensi yang kedua adalah Menjalankan Hukum-Hakam SYARIAT.
3) Dimensi yang ketiga adalah Ditempuh Dengan Ajaran TAREKAT.
4) Dimensi yang keempat adalah Mampu Mendalami HAKIKAT.
Maka keempat-empatnya ini akan Berjalan seiring bersama-sama, Berjalan serentak, saling mendukung, saling membantu dan saling bekerjasama bagi Menuju ke PUNCAKNYA MA’RIFATULLAH.
IMAN itu terkenal sebagai DASAR AGAMA (Kepercayaan, Pendirian dan Pegangan).
Maka, tanpa IMAN takkan mungkin seseorang Insan itu dapat MENGENAL ALLAH.
SYARIAT adalah TIANG yang sebagai Perlaksana segala Hukum-Hakam Agama.
Dimensi SYARIAT itu adalah merupakan TIANG AGAMA. Iaitu Menjalankan segala Perintah-NYA dan Menjauhi segala Larangan-NYA.
Dimensi TAREKAT itu adalah merupakan PENCARI JALAN YANG SUCI. Sebagai upaya Pembersih Qalbu daripada segala Kekotoran Hawa Nafsu.
Dimensi HAKIKAT itu adalah merupakan PENGGALI INTI AJARAN YANG JERNIH. Membahas tuntas Inti Permasalahan yang Mendasari kesemua Ajaran MA’RIFAT.
Maka masing-masing Dimensi ini tidak akan mungkin dapat berdiri dengan sendirinya.
Kerana keempat-empatnya akan saling Berkait Erat dan dilakukannya dengan bersama-sama. Sama halnya seperti sedang mengikat batu-bata untuk membangunkan sebuah bangunan.
Sehinggalah tidak akan adanya ajaran yang mengatakan bahawa, apabila seseorang itu sudahpun BERMA’RIFATULLAH, kemudiannya ia boleh sahaja meninggalkan SYARIAT.
Sesungguhnya Hal itu tersangat-sangatlah jauh sekali daripada KEBENARAN JALAN MA'RIFATULLAH.
Pada Hakikatnya,
"TIADA YANG MENGENAL ALLAH KECUALI HANYA ALLAH SENDIRI YANG MENGENALI DIRINYA..."
PENGENALAN kepada Allah SWT itu adalah merupakan suatu RAHMAT yang Dilimpahkan atau Dianugerahkan oleh Allah SWT keatas Insan-Insan yang BERIMAN...

[ Sumber dari Syeh Haqtullah ]


Selasa, 23 Julai 2024

KETIKA HATI TELAH BERSATU DENGAN TUHAN, KETIKA HATI DIPENUHI DENGAN CINTA, MASIHKAH AGAMA DIPERLUKAN ?

 


KETIKA HATI TELAH BERSATU DENGAN TUHAN, KETIKA HATI DIPENUHI DENGAN CINTA, MASIHKAH AGAMA DIPERLUKAN ?
Membersihkan diri, penyucian diri, membersihkan hati, membuang semua yang buruk. Diri menjadi bersih, hati menjadi bersih, menjadi suci. Pintu hati terbuka, masuklah cahaya, masuklah Tuhan dan Tuhan bersemayam didalam hati tidak keluar lagi, maka engkau telah bersatu dengan Tuhan.
Mencari Tuhan, menemukan Tuhan, mengenal Tuhan, mendekatkan diri dan selalu bersama Tuhan, menjalin kemesraan dengan Tuhan, meleburkan diri dengan Tuhan.
Maka engkau telah bersatu dengan Tuhan.
Melebur dalam sandaran jasmani dan rohani, bergabung menjadi satu, melalui Tuhan, didalam Tuhan dan untuk Tuhan.
Maka engkau telah bersatu dengan Tuhan.
Yang Mencintai dan Yang dicintai telah menjadi satu, tingkat tertinggi yang dicapai dalam perjalanan jiwamu.
Maka engkau telah bersatu dengan Tuhan.
Dikesunyian malam, engkau berdialog, bercakap2, bercengkrama mesra dengan Tuhan yang bersemayam didalam hatimu.
Maka engkau telah bersatu dengan Tuhan.
Ketika hati telah bersatu dengan Tuhan, masihkah agama diperlukan ?
Engkau membersihkan hatimu dari semua keburukan, hatimu yang bersih telah dipenuhi cinta dan Tuhan pun bersemayam dihatimu yang penuh cinta.
Engkau berjalan dijalan Tuhan, bersama Tuhan yang bersemayam dihatimu engkau berjalan dijalan Tuhan, yaitu : Kemanusiaan.
Engkau telah berada dipuncak agama bersama Tuhan yang bersemayam dihatimu, engkau bersama Tuhan yang bersemayam dihatimu telah mencapai tujuan tertinggi dari semua agama, yaitu : Cinta.
Ketika hati dipenuhi dengan cinta, apakah agama masih menjadi hal yang penting ?

# Sumber dari FB

Hubabah Syarifah Zainab @ Tuan Lu’ Lu’ binti Sayyid Saggaf

 

[ 𝗠𝗔𝗥𝗜 𝗠𝗘𝗡𝗚𝗘𝗡𝗔𝗟𝗜 𝗖𝗨𝗖𝗨 𝗧𝗘𝗥𝗧𝗨𝗔 𝗧𝗢𝗞 𝗞𝗨 𝗣𝗔𝗟𝗢𝗛 ]
Hubabah Syarifah Zainab @ Tuan Lu’ Lu’ binti Sayyid Saggaf bin Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin bin Sayyid Syeikh bin Sayyid Musthafa dilahirkan pada tahun 1918M.
Datuk kepada Hubabah Tuan Lu' Lu' adalah Sayyid Abdul Rahman Bin Sayyid Muhammad al-Idrus atau dikenali ramai sebagai Tok Ku Paloh yang merupakan salah seorang daripada orang terpelajar dalam bidang agama dalam Sejarah Negeri Terengganu sementara neneknya pula Wan Ngah Binti Wan Abdullah adalah cucu kepada Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, Mufti pertama Negeri Terengganu.
Ayah kepada Hubabah Tuan Lu' Lu' adalah Sayyid Saggaf bin Sayyid Abdul Rahman. Beliau merupakan seorang penasihat Di-Raja dalam Istana Terengganu di zaman pemerintahan Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Kerana jasa-jasanya, beliau telah dianugerahkan gelaran ‘Engku Kelana Di-Raja’ satu-satunya gelaran yang jarang diberikan dan hanya dianugerahkan kepada penerima dari kalangan keturunan Sayyid.
Tok Ku Sayyid Saggaf menerima pendidikan awal daripada ayahandanya sendiri iaitu Tok Ku Paloh dan selepas kematian Tok Ku Paloh beliau belajar pula dengan Haji Abdul Rahman Limbong yang merupakan salah seorang anak murid Tok Ku Paloh.
Beliau telah dianugerahkan sebidang tanah di Gong Kapas oleh Sultan Mohamad ibni Sultan Zainal Abidin III untuk beliau memerintahnya serta mengajar agama Islam. Di atasnya, beliau telah mewujudkan satu komuniti yang berdikari dimana beliau telah merancang serta menyusun penduduknya yang terdiri daripada isteri-isterinya, anak-anaknya serta pengikut-pengikutnya dan juga telah mengadakan keperluan-keperluan mereka seperti kemudahan-kemudahan seperti surau untuk belajar agama serta sebuah gelanggang luar untuk beliau mengajar silat.
Tok Ku Syed Saggaf bukan sahaja seorang yang terpelajar dalam bidang agama malahan beliau juga pandai dalam seni bela diri silat dan seorang yang membuat senjata melayu seperti keris. Semasa hayatnya beliau telah berjaya menghasilkan lebih kurang lima belas senjata yang sangat halus dan bermutu tinggi yang mana ianya sehingga ke hari ini menjadi idaman serta buruan pengemar antik serta pencinta seni.
Dikatakan meskipun usia Hubabah Tuan Lu' Lu' sudah cecah 103 tahun , tapi ingatan dan pandangannya masih kuat dan tajam. Bila ditanyakan apa rahsianya, jawapan diberi, " Tok sentiasa baca Al-Qur’an , mengamalkan syahadat Tokku Paloh , menjaga waktu solat , melakukan solat sunat dhuha , setiap malam bangun bertahajud dan sentiasa berselawat dan berdzikir. "
Hubabah Tuan Lu' Lu' dijemput Allah SWT pulang ke hadrat-Nya pada 17 Ogos 2021. Semoga Allah SWT merahmati roh beliau dan menempatkan beliau bersama para solihin.
Kredit :
- Tengku Daeng Mawelle
- fb Syed Saggaf Bin Syed Abd Rahman al-Idrus

ADAB SEORANG SALIK KEPADA ALLAH DAN RASULNYA

  ADAB SEORANG SALIK KEPADA ALLAH DAN RASULNYA Kunci Terbukanya (Futuh dan Ma'rifatullah) Pendahuluan : Perjalanan menuju Allah bukan se...