Ada waktu tertentu dalam perjalanan seorang murid, dia akan terasa seperti tidak memahami apa yang guru ajarkan secara lisan, tidak mengerti mengapa sesuatu amalan atau zikir itu diajar, dan tidak juga merasa kemanisan yang disebut-sebut oleh para ikhwan terdahulu. Tetapi bila dia berpeluang bermusafir bersama gurunya, walau hanya dalam satu perjalanan yang singkat, tiba-tiba segala kefahaman itu terbuka.
Musafir bersama guru bukan sekadar perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain. Ia adalah medan suluk yang tidak tertulis di dalam kitab. Ia adalah halaqah hidup di mana guru memperlihatkan tarekat dalam bentuk perbuatan, kesabaran, kejujuran, tawakkal, dan adab yang tidak mungkin dapat diajar melainkan disaksikan sendiri.
Dalam musafir itulah seorang murid mula melihat bagaimana guru mengurus waktu, menjaga zikir dalam perjalanan, bersifat tenang ketika berlaku kesilapan orang lain, menghulurkan tangan membantu walau sudah penat, dan paling penting bagaimana guru tetap tidak lalai dari Allah walau dalam keadaan ramai dan sibuk. Di sinilah murid belajar bukan hanya daripada kata-kata, tetapi daripada kehidupan seorang mursyid itu sendiri.
Dan lebih dari itu, dalam musafir itu terbuka banyak peluang untuk murid berkhidmat. Membawa beg, menyediakan tempat duduk, menemani waktu rehat, mengambil makanan, menyelaras jadual dan semua ini kelihatan kecil tetapi menjadi sebab turunnya rahmat dan futuh. Ramai yang tidak faham, bahawa dalam khidmat yang ikhlas, tersembunyi madad yang besar.
Perjalanan yang asalnya kelihatan biasa akhirnya menjadi medan yang membuka makna seluruh perjalanan tarekat. Kadang-kadang hanya selepas satu musafir, murid berubah menjadi seseorang yang lebih tenang, lebih faham, lebih rapat dengan guru dan lebih kuat pada zikirnya. Ia seperti diberi satu ‘rasa’ baru, yang tidak diperolehi daripada duduk belajar semata.
Kerana itu, apabila guru menyebut untuk bermusafir, maka jangan ditolak. Walau penat, walau ada hal, walau rasa seperti tak penting, jangan ditolak. Itu adalah undangan rahsia yang mengubah banyak perkara. Sebahagian daripada ahli tarekat yang mendapat kedudukan di sisi guru adalah mereka yang dahulu pernah bersama guru dalam musafir-musafir penuh ujian.
Mereka tidak minta dikenali. Tetapi mereka dikenang oleh guru. Dan nama mereka disebut dalam doa yang tidak diketahui oleh manusia, tetapi diketahui oleh langit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan