Khamis, 29 Ogos 2024

KONSEP NUR MUHAMMAD DI DUNIA MELAYU - Siri Penutup

 

KONSEP NUR MUHAMMAD DI DUNIA MELAYU - Siri Penutup

Penulis : DR. MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY (UEM)
(Jabatan Mufti Negeri Sembilan hanya memanjangkan tulisan ini untuk satu penelitian berkenaan isu "NUR MUHAMMAD". Al-Fatihah buat Dr Muhammad 'Uthman El-Muhammady yang telah kembali ke rahmatullah)
Kesimpulan:
Daripada pembentangan riwayat-riwayat di atas berdasarkan dokumentasi para mufassirin dan muhaddithin yang merupakan imam-imam dalam bidangnya, ada beberapa kesimpulan yang boleh dibuat. Antaranya ialah: bahawa Nabi Muhammad s.a.w. sudah ada hakikatnya, nurnya, sebelum sekelian makhluk dijadikan. Bahkan nurnyalah yang merupakan makhluk pertama yang dijadikan oleh Tuhan, sebagai kekasihNya. Ia juga punca bagi sekelian makhluk yang lain, baik alam tinggi atau alam bawah atau alam rendahnya, alam yang boleh dipandang dengan mata atau alam yang tidak boleh dipandang dengan mata. Ia makhluk yang terawal dicipta dan yang terkemudian sekali dibangkit dengan jasad dan rohnya dalam sejarah alam ini. Namun kewujudannya sebagai nabi dan rasul diketahui oleh sekalian nabi dan rasul dalam seluruh sejarah umat manusia, antaranya, khususnya jelas daripada hadith-hadith berkenaan dengan Isra’ dan Mi’raj yang banyak dinukil oleh ibn Kathir dalam Tafsirnya berkenaan dengan ayat awal Surah bani Isra’il.
Nampaknya tidak timbul keperluan untuk sesiapa terlintas pada mindanya dan terfikir bahawa ulama tafsir, hadith, sirah, syama’il dan lainnya yang berbicara berkenaan dengan nabi meminjam idea itu daripada mana-mana punca lain; tidak ada tercatit dalam sejarah berlaku “peminjaman” idea ini dalam ulama kita, kecuali ada penyelidikan kemudian yang mengikuti kaedah yang boleh diterima oleh ahli ilmu kita. Nampaknya ia timbul daripada sumber Ahlis-Sunnah sendiri. Ini jelas sampai para nabi dan rasul membuat perjanjian dengan Tuhan untuk beriman kepadanya dan membantunya bila ia zahir dalam sejarah perjuangannya. Riwayat tentangnya berada dalam generasi-generasi anbia dalam sejarah nampaknya diterima oleh ulama yang berotoritas dalam ilmunya. Dalam umat ini.
Kalau terlintas diminda bahawa ini adalah tidak munasabah pada akal, maka banyak perkara yang boleh dikatakan tidak munasabah pada akal yang berfikir secara ‘biasa’, misalnya teori quantum tentang dunia yang ada ini dengan benda-bendanya tidak “pejal’ bahkan ia samaada bersifat sebagai gelombang atau zarrah yang tidak menentu sifatnya, samaada gelombang atau zarrah. Yang kelihatan pejal, keras pada pandangan mata, pada neraca teori quantum adalah tidak demikian. Kalau mengikut fikiran secara ‘biasa” e=mc2 adalah tidak munasabah; tetapi pada ahlinya ia bukan sahaja ‘munasabah’ tetapi ada kebenarannya yang sangat nyata. Atau lihat sahaja benih manusia yang terpancar ke dalam rahim, kemudian selepas sembilan bulan lebih kurang ia menjadi manusia kecil yang bergerak, hidup, demikian seterusnya, kemudian berkata-kata dalam beberapa bulan. Orang boleh berkata sekarang: itu memang demikian. Ya, memang demikian yang berlaku dalam sunnah Tuhan. Demikian pula kita boleh sebutkan demikian sunnah Tuhan dalam hubungan dengan kejadian alam daripada nur Nabi kita s.a.w.
Kalau terlintas pada minda tentang hal yang demikian berlawanan dengan kejadian manusia, dan nabi juga, daripada tanah, maka perspektifnya ialah: pada hakikatnya tanah itupun asalnya daripada ‘nur’, yang kemudian dimanifestasikan dalam bentuk tanah dan lainnya. Tetapi asalnya daripada zat-sebelum-benda yang satu itu, nur itu, sebagaimana yang dihuraikan oleh kosmologi ulama Sunni kita. Allah memberi rahmat kepada mereka.
Dengan itu ‘nur’ nabi itu bukan sahaja maknawi, secara bahasa misalan, tetapi memang hakikatnya ia nur, yang melintasi sekelian nur, sehingga ia makhluk yang berupa nur yang daripadanya dijadikan nur-nur yang lain dan zat-zat yang lain.
Kalau sekarang mereka berbicara tentang alam dari segi elektron, proton, neutron, ‘quarks’, ‘photon’ dan apa lagi, maka pada kita, sekalian daripada itu semua, dasar segalanya adalah asalnya ‘nur’ nabi kita. Yang lain-lain itu, bila benar pada pengamatan ilmiah yang mentaati syarat-syaratnya boleh diterima.
Kalau terlintas untuk minda sesiapa membuat tanggapan bahawa ini pantheisma, ini juga tidak timbul, sebab pantheism adalah falsafah Barat yang baharu timbul dalam abad ke IX yang memaksudkan serba-Tuhan, semuanya juzuk-juzuk daripada Tuhan, walhal ini bukan demikian. Yang diajarkan ialah bahawa Tuhan menjadikan nur Baginda sebagai makhluk terawal, yang menjadi punca segalanya kemudian Baginda muncul dengan jasadnya dan rohnya bila tiba gilirannya di akhir zaman.
Inilah antara yang terlintas pada penulis yang kurang pengetahuan ini untuk menukilkan riwayat-riwayat dari punca-punca para ulama yang muktabar dalam umat ini untuk kefahaman dan pegangan bersama. Mudah-mudahan kita semua mendapat rahmat dan barakah dariNya.
Amin ya Rabbal-‘alamin.
Wallahu’a’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

KONSEP NUR MUHAMMAD DI DUNIA MELAYU - Siri Penutup

  KONSEP NUR MUHAMMAD DI DUNIA MELAYU - Siri Penutup Penulis : DR. MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY (UEM) (Jabatan Mufti Negeri Sembilan hanya ...