Isnin, 30 Disember 2024

KEROHANIAN ISLAM DAN AHLI SUFI

 


KEROHANIAN ISLAM DAN AHLI SUFI
Sufi adalah perkataan Arab – saf, yang bererti tulen. Alam batin Sufi dipersucikan, menjadi tulen dan diterangi oleh cahaya makrifat, penyatuan dan keEsaan.
Istilah Sufi dikaitkan juga dengan bidang kerohanian mereka yang sentiasa berhubung dengan sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang dikenali sebagai ‘puak yang memakai baju bulu’. Saf, pakaian bulu yang kasar menggambarkan keadaan mereka yang miskin lagi hina. Kehidupan dunia di dalam kesempatan. Mereka berjimat cermat di dalam makanan, minuman dan lain-lain.
Dalam buku ‘al-Majm’ ada dikatakan, “Apa yang terjadi kepada Ahli Suluk yang suci ialah pakaian dan kehidupan mereka sangat sederhana dan hina”. Walaupun mereka kelihatan tidak menarik secara keduniaan tetapi hikmah kebijaksanaan (makrifat) mereka ternyata pada sifat mereka yang lemah lembut dan halus, yang menjadikan mereka menarik kepada sesiapa yang mengenali mereka. Mereka menjadi contoh kepada alam manusia. Mereka berpandukan Ilmu Ilahi. Pada pandangan Tuhan mereka berada pada martabat pertama kemanusiaan. Dalam pandangan mereka yang mencari Tuhan puak Sufi ini kelihatan cantik walaupun pada zahirnya buruk. Mereka mesti dikenali dan berupaya mengenali, dan mereka mesti dengan cara itu iaitu satu dan semua, kerana mereka semua berada pada makam keEsaan dan mesti nyata sebagai satu.
Dalam bahasa Arab perkataan Tasawwuf, kerohanian Islam, terdiri daripada empat huruf – ‘ta’, ‘sin’, ‘wau’ dan ‘pa’ (t,s,w,f). Huruf pertama, t, bermaksud taubat. Ini adalah langkah pertama perlu diambil pada jalan ini. Ia adalah seolah-olah dua langkah, satu zahir dan satu batin. Taubat zahir dalam perkataan, perbuatan dan perasaan, menjaga kehidupan agar bebas daripada dosa dan kesalahan dan cenderung untuk berbuat kebaikan dan ketaatan; meninggalkan keingkaran dan penentangan, mencari kesejahteraan dan kedamaian. Taubat batin dilakukan oleh hati. Penyucian hati daripada hawa nafsu duniawi yang huru hara dan hati bulat berazam mahu mencapai alam ketuhanan. Taubat – mengawasi kesalahan dan meninggalkannya, menyedari kebenaran dan berjuang ke arahnya – membawa seseorang kepada langkah kedua.
Langkah kedua ialah keadaan aman dan sejahtera, safa. Huruf ‘s’ adalah simbolnya. Dalam peringkat ini juga ada dua langkah perlu diambil. Pertama ialah ke arah kesucian di dalam hati dan kedua pula ke arah pusat hati. Hati yang tenang datang daripada hati yang bebas daripada kesusahan, keresahan yang disebabkan oleh masalah semua kebendaan ini, masalah makan, minum, tidur, perkataan yang sia-sia. Dunia ini seumpama tenaga tarikan bumi, menarik hati ke bawah, dan untuk membebaskan hati daripada masalah tersebut menyebabkan berlaku tekankan kepada hati. Di sana ada pula ikatan-ikatan – hawa nafsu dan kehendak, pemilikan, kasihkan keluarga dan anak-anak – yang mengikat hati seni kepada bumi dan menghalangnya terbang tinggi.
Cara membebaskan hati, bagi menyucikannya, adalah dengan mengingati Allah. Pada permulaan ingatkan ini berlaku secara luaran, dengan mengulangi nama-nama Tuhan, menyebutnya kuat-kuat sehingga kamu dan orang lain boleh mendengarnya. Apabila ingatkan kepada-Nya sudah berterusan ingatkan tersebut masuk ke dalam hati dan berlaku di dalam senyap. Allah berfirman:
“Sesungguhnya orang Mukmin itu ialah mereka yang apabila disebut (nama) Allah, takutlah hati-hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah menambahkan lagi keimanan mereka, dan kepada Tuhan merekalah mereka kembali”.
(Surah Anfaal, ayat 2)
Takutkan Allah dalam ayat tersebut bermaksud takut dan harap, hormat dan kasihkan Allah. Dengan ingatan dan ucapan nama-nama Allah hati menjadi jaga dari ketiduran dan kelalaian, menjadi suci bersih dan bersinar. Kemudian bentuk dan rupa dari alam ghaib menyata di dalam hati. Nabi SAW bersabda, “Ahli ilmu zahir mendatangi dan menerkam sesuatu dengan akal fikirannya sementara ahli ilmu batin sibuk membersihkan dan menggilap hati mereka”.
Kesejahteraan pada pusat rahsia bagi hati diperolehi dengan membersihkan hati daripada segala sesuatu dan menyediakannya untuk menerima Zat Allah semata-mata yang memenuhi ruang hati apabila hati sudah diperindahkan dengan kecintaan Allah. Alat pembersihannya ialah berterusan mengingati dan menyebut di dalam hati, dengan lidah rahsia akan kalimah tauhid “La ilaha illa Llah”. Bila hati dan pusat hati berada dalam suasana tenang dan damai maka peringkat kedua yang disimbolkan sebagai huruf ‘s’ selesai.
Huruf ketiga ‘w’ bermaksud wilayah, suasana kesucian dan keaslian pencinta-pencinta Allah dan sahabat-sahabat-Nya. Keadaan ini bergantung kepada kesucian batin. Allah menggambarkan sahabat-sahabat-Nya dengan firman-Nya:
“Ketahuilah, sesungguhnya pembantu-pembantu Allah tidak ada ketakutan atas mereka dan tidak mereka berdukacita. Bagi merekalah kegembiraan di penghidupan dunia dan akhirat…”.
(Surah Yunus, ayat 62 – 64)
Seseorang yang di dalam kesucian menyedari sepenuhnya tentang Allah, mencintai-Nya fan berhubungan dengan-Nya. Hasilnya dia diperelokkan dengan peribadi, akhlak dan perangai yang terbaik. Ini merupakan hadiah suci yang dikurniakan kepada mereka. Nabi SAW bersabda,
“Perhatikanlah akhlak yang mulia dan berbuatlah sesuai dengannya”.
Dalam peringkat ini orang yang di dalam kesedaran tersebut meninggalkan sifat-sifat keduniaannya yang sementara dan kelihatanlah dia diliputi oleh sifat-sifat Ilahi yang suci. Dalam Hadis Qudsi Allah berfirman:
“Bila Aku kasihkan hamba-Ku, Aku menjadi pendengarannya, penglihatannya, percakapannya, pemegangnya dan perjalanannya”.
Keluarkan segala-galanya dari hati kamu dan biarkan Allah sahaja yang berada di sana. “Dan katakanlah telah datang kebenaran dan telah lenyap kepalsuan kerana sesungguhnya kepalsuan itu akan lenyap”. (Surah Bani Israil, ayat 81)
Bila kebenaran telah datang dan kepalsuan telah lenyap maka selesailah peringkat wilayah.
Huruf keempat ‘f’ bermakna fana, lenyap diri sendiri ke dalam ketiadaan. Diri yang palsu akan hancur dan hilang apabila sifat-sifat yang suci memasuki seseorang, dan apabila sifat-sifat serta keperibadian yang banyak menghalang tempatnya akan diganti oleh satu sahaja sifat keEsaan.
Dalam kenyataan hakikat sentiasa hadir. Ia tidak hilang dan tidak juga berkurangan. Apa yang berlaku adalah orang yang beriman menyedari dan menjadi satu dengan yang menciptakannya. Dalam suasana berada dengan-Nya orang yang beriman memperolehi kurniaan-Nya; manusia yang sementara menemui kewujudan yang sebenar dengan menyedari rahsia abadi. “Semua akan binasa kecuali Wajah-Nya”. (Surah Qasas, ayat 88)
Cara untuk menyedari hakikat ini ialah melalui anugerah-Nya, dengan kehendak-Nya. Bila kamu berbuat kebaikan semata-mata kerana-Nya dan bersesuaian dengan kehendak-Nya kamu akan menjadi hampir dengan hakikat-Nya, Zat-Nya. Kemudian semua akan lenyap kecuali Yang Esa yang meredhai dan yang Dia diredhai, bersatu. Perbuatan baik adalah ibu yang melahirkan bayi kebenaran; kehidupan dalam kesedaran bagi manusia yang sebenar-benarnya.
“Perkataan yang baik dan perbuatan yang baik naik kepada Allah”. (Surah Fatir, ayat 10)
Jika seseorang berbuat sesuatu dan jika kewujudannya bukan untuk Allah sahaja maka dia mengadakan sekutu bagi Allah, dia meletakkan yang lain pada tempat Allah – dosa yang tidak diampunkan yang akan memusnahkannya, lambat atau cepat. Tetapi bila diri dan kepentingan diri fana seseorang itu mencapai peringkat bersatu dengan Allah. Allah menggambarkan makam tersebut:
“Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (adalah) dalam kebun-kebun dan (dekat) sungai-sungai. Di tempat duduk kebenaran, di sisi Raja Agung yang sangat berkuasa”. (Surah Qamar, ayat 54 & 55)
Tempat itu ialah tempat bagi hakikat yang penting, hakikat kepada hakikat-hakikat, tempat penyatuan dan keEsaan. Ia adalah tempat yang disediakan untuk nabi-nabi, untuk mereka yang dikasihi oleh Allah, untuk para sahabat-Nya. Allah beserta orang-orang yang benar. Bila kewujudan bersatu dengan wujud yang abadi ia tidak boleh dipandang sebagai kewujudan yang terpisah. Bila semua ikatan keduniaan ditanggalkan dan seseorang itu dalam suasana kesatuan dengan Allah, dengan kebenaran (hakikat) Ilahi, dia menerima kesucian yang abadi, tidak akan tercemar lagi, dan masuk ke dalam golongan:
“Mereka itu ahli Syurga yang kekal di dalamnya”. (Surah A’raaf, ayat 42)
Mereka adalah:
“Orang-orang yang beriman dan beramal salih”. (Surah A’raaf, ayat 42)
Bagaimanapun:
“Kami tidak memberatkan satu diri melainkan sekadar kuasanya”. (Surah A’raaf, ayat 42)
Tetapi seseorang memerlukan kesabaran yang kuat:
“Dan Allah beserta orang yang sabar”.
(Surah Anfaal, ayat 66)
|
Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani
(Sirrul Asrar)

Tasawwuf

 


Saya diminta bercakap berkenaan tasawwuf dan tariqah tasawwuf dalam persidangan ini. Bagaimana saya hendak mencakapkan tasawwuf kerana ia adalah jenis jiwa ruh kebatinan? Bagaimana hendak diceramahkan kerana ia cahaya dan keimanan? Kita sekarang sedang hidup dalam dunia yang berserabut dengan gejala-gejala kebendaan fikiran dan usaha-usaha yang berlumba-lumba untuk hawa nafsu syahwat dan keinginan syaitan, hati yang dinoda tamak haloba angkara murka kejahilan dan kekeliruan melainkan orang yang arif bijaksana dan beriman.
Untuk tahu dan mengenal tasawwuf itu, cuba buang dan jauhkan diri (akan) sebarang larangan Allah Ta‘ala. Hampir dan kerjakanlah apa-apa yang disuruh Allah Ta‘ala. Bersihkan dan heningkan fikiran dan hati dengan nur dan petunjuk Tuhan. Jauhkanlah dari fitnah dunia dan bisikan syaitan. Amalkan sifat-sifat mahmudah (terpuji). Buangkan sifat-sifat mazmumah (tercela). Bangunkanlah insan kamil. Tinggalkanlah dunia yang fana ini dan berhadaplah kepada negeri akhirat yang kekal. Hadaplah dunia ini dengan penuh rasa kemanusiaan dan persaudaraan sejagat. Isilah budi pekerti dengan timbang rasa keadilan dan ihsan. Hiasilah diri dengan adab akhlaq yang bersih baik; taat mengerjakan ibadah. Kasih kepada Allah Ta‘ala dan mahluknya, asyik bercinta dengan kecantikan kesempurnaan Tuhan Yang Maha Tinggi Maha Besar, berkecimpung di lautan rahmat dan keridaan Tuhan. Peranglah nafsu dan syaitan. Kenalah diri yang sebenarnya. Dengan demikian, nampaklah kesucian dan kebenaran tasawwuf itu.
Tasawwuf Itu Nyawa Islam
Tasawwuf itu adalah puncak yang tertinggi sekali dalam alam fikiran dan cita rasa hati Islam. Ini ternyata dalam tawarikh perkembangan keemasan Islam. Tasawwuf menghembuskan jiwa yang dinamik, sanggup berhabis-habisan berkorban-memelihara dan mempertahankan aqidah dan prinsip-prinsip Islam beriman yang sempurna; sempurna dalam urusan hidup. Kenal kepada rahsia dan hikmah hidup. Menyeru dan memimpin kepada peri kemanusiaan yang tinggi suci dan kepada ketuhanan dengan penuh jujur dan amanah. Bersungguh-sungguh bertolong-menolong atas perkara taat dan taqwa. Pesan-memesan, ingat-beringat atas perkara haq dan sabar, berlumba-lumba berbuat kebajikan. Tasawwuf itu adalah ilmu batin sebagai jiwa dan nyawa manakala ilmu zahir itu sebagai jasadnya.
Al-Quran Dan Tasawwuf
Daripada ayat-ayat al-Quran diambil sandaran dan pegangan tasawwuf dan tariqah-tariqah; berpaling dari dunia dan berhadap kepada yang menjadikan hidup dan dunia alam buana ini, berhadap kepada Tuhan dengan penuh harapan kasih dan fana fillah. Di antara ayat-ayat itu:
“Ketahuilah oleh kamu! Sesungguhnya di dunia ini adalah sukan main-mainan, (hiburan), perhiasan, bermegah-megah antara kamu, berlumba-lumba banyak harta dan anak-anak; umpama yang demikian itu ialah seperti air hujan yang menakjubkan orang-orang kafir dengan memandang kesuburan siraman air itu kepada tumbuh-tumbuhannya, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering, lalu pula berubah kuning layu, kemudian beralih menjadi reput hancur. Di kampung akhirat itu nanti azab seksa yang keras kepada orang-orang kafir dan keampunan serta keridaan daripada Allah untuk orang-orang mukmin. Dan tidaklah sekali-kali hidup dunia ini melainkan hidup kesukaan saduran (luntur jua).” (al-Hadid :20)
Seluruh ayat al-Quran itu tujuannya mengharapkan dan memimpin diri manusia itu kepada ruh yang suci, menghadap kembali kepada Tuhan yang menjadikan sekalian makhluk ini, balik ke negeri akhirat yang kekal abadi. Al-Quran adalah tegas sekali mengatakan:
“Aku tidaklah menjadikan jin dan manusia melainkan ialah untuk menyembah kepada Aku.” (al-Dhariyat: 56)
Semua dalam alam wujud ini menurut fitrahnya ingat dan tunduk bertasbih kepada Allah Ta‘ala:
“Bertasbih bagi-Nya oleh langit-langit dan bumi dan mana-mana makhluk pada kedua-duanya.”
Mulai dari zaman Rasulullah s.a.w. lagi, ketika al-Quran masih bersambung-sambung turun, ada golongan manusia yang banyak sekali beribadat dan banyak membaca dan menghafaz al-Quran itu. Golongan ini terkenal Ahli al-Suffah, yang menjadi pangkal menimbulkan ahli tasawwuf itu. Inilah sedikit pandangan daripada al-Quran. Mazhab ahli tasawwuf itu:
Kasih mereka kepada Allah, kasih Allah kepada insan; kasih insan kepada Allah; kasihlah yang menegakkan hidup. Kerana itulah kasihkan Allah itulah pujaan hidup ahli-ahli tasawwuf itu mulai dari jasmaninya lantas keruhanian sentiasa kasihkan Allah. Lidahnya sentiasa berzikir dan bertasbih. Tiap nafas turun naiknya, keluar masuknya dengan berzikir. Hati budinya terus dengan zikir yang sentiasa.
Jiwa mereka taat beribadat dan berjihad melawan nafsu, melawan kezaliman, berjuang dalam lapangan umum, meninggikan kalimah Allah hingga jadi agama Islam itu pegangan hidup dan jalan hidupnya semata-mata kerana Allah Ta‘ala.
Rasulullah s.a.w. Dengan Hidup Tasawwuf
Mula hidupnya dengan mempelajari rahsia dan hikmah alam dengan bertapa di Gua Hira’ sehingga menjadi rasul. Rasulullah s.a.w. sangat kuat bertahajjud, istighfar, zikir, sembahyang hingga bengkak-bengkak kakinya kerana lama berdiri qiyam. Rasulullah s.a.w. menangis kerana takutkan Tuhannya. Rasulullah s.a.w. menunjukkan kepada Abu Hurairah rupa dunia yang kotor ini dengan contoh satu lopak yang bertimbun-timbun bangkai manusia dan binatang dan barang-barang buruk buangan. Semuanya ini terang dalam hadith yang sahih.
Rasulullah s.a.w. mengibaratkan dunia ini tidak pun bernilai timbangannya seberat sayap nyamuk. Dalam suatu Hadith Qudsi: “Aku adalah di sisi orang-orang yang pecah remuk redam hatinya.” Rasulullah s.a.w. tidur di atas tikar yang kasar. Badannya berlarik bekas tikar itu di kedua lambungnya hingga menangis Sayyidina Umar dengan penderitaan nabi itu.
Banyak sungguh hadith-hadith yang dipegang oleh ahli tasawwuf itu. Pada orang tasawwuf, siapa yang hendak dunia – seperti sabda Rasulullah itu – silalah dan siapa yang hendakkan akhirat dan keridaan Tuhannya jalan atau tariqahnya adalah terang dan nyata.
Keperluan Tasawwuf Di Zaman Ini
Apakah gunanya tasawwuf di zaman pembangunan Negara kita sekarang ini? Tidakkah akan mematahkan semangat usaha dan kerja pembangunan?!
Tasawwuf yang betul benar tidak menjadi sebarang halangan kepada pembangunan malah memberikan semangat yang bersih dan selamat kerana adalah berdasarkan peri kemanusiaan yang sempurna. Kekayaan hendaklah dilakukan dan digunakan semata-mata untuk peri kemanusiaan dan kebajikan. Untuk seorang tasawwuf cukup sebagaimana yang digambarkan pada sifat nabi, sahabat-sahabat dan ulama-ulama.
Pembangunan kebendaan dengan tidak disertai pembangunan jiwa dan ruh samalah seperti membuat lembaga manusia yang tak bernyawa dan membangunkan ruh sahaja samalah seperti ruh yang tidak berjasad.
Syara‘ dan haqiqat perlu sama maju. Masing-masing dalam pembangunan negara hendaklah mengambil lapang masing-masing. Susu adalah minuman yang lazat dan baik jika ada orang yang tak boleh minum teh tak suka minum kopi dan yang suka kopi tidak sukia teh; ambillah minuman masing-masing.
(Dipetik dari buku “Manifesto Intisari dan Rahsia dalam Pemikiran dan Pengalaman Islami” susunan Mohd Zaidi Abdullah. Beliau juga merupakan penyumbang artikel dan penyunting buku ini.)
*Tasawwuf itulah adalah ruh dalam pengamalan Islami. Tanpa ruh, maka tidaklah hidup jasad itu. Peranan tasawwuf sungguh besar dalam kehidupan masa kini. Apa tidaknya, kerana tasawwuf itu sendiri asasnya berdiri di atas prinsip tauhid dan mengesakan Allah. Kemudian ianya dihiasi dengan akhlaq yang mulia dan baik. Maka, melalui tasawwuf peradaban kaum Muslimin terbina. Apa tidaknya, jika masyarakat mempunyai akhlaq yang buruk, hidup mengikut nafsu syahwat dan kebinatangan, maka akan musnahlah sesuatu peradaban itu. Seperti yang disebut Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmi di atas, melalui tasawwuf terbinalah episod baru peradaban kaum muslimin yang gemilang. Peradaban yang gemilang terbentuk apabila rakyatnya terdiri daripada mereka yang berakhlaq mulia, mata hatinya tajam, hatinya penuh dengan perasaan kasih sayang dan saling menghormati. Hati mereka sentiasa mengingati Allah. Apakah yang akan terjadi kepada sesebuah institusi korporat sekiranya para pekerjanya mempunyai akhlaq yang cemar? Masing-masing ingin menjatuhkan di antara satu sama lain. Majikan bersifat zalim dan kasar kepada pekerjanya dan para pekerja tidak amanah dalam menjalankan tugas? Sudah pasti institusi korporat tersebut akan menuju kehancuran. Begitulah juga halnya dalam sesebuah peradaban. Mungkin ada antara yang tidak setuju dengan istilah tasawwuf, tetapi tasawwuf itu tidak lain daripada maksud hadith Rasulullah s.a.w. iaitu: “Kamu beribadat seolah-olah kamu melihat Allah, dan sekiranya kamu tidak melihatNya, sesungguhnya dia melihat kamu.” Itulah dia tujuan tasawwuf, untuk mencapai peringkat ihsan.

Oleh Prof. Dr. Burhanuddin al-Helmi
Manarah Studio 

TAREKAT, PENGERTIAN DAN SEJARAHNYA.

  TAREKAT, PENGERTIAN DAN SEJARAHNYA. Dari Abu Hurairah R.A. dan Sayyidina Ali R.A., Sabda Nabi S.A.W.: "Bermula syariat itu beberapa p...